Resipi magnet peti sejuk

on Sunday, December 16, 2012



KEGEMARAN orang ramai membeli pelekat magnet sebagai oleh-oleh apabila pulang daripada bercuti telah memberi idea kepada Nori Anwar, 38, untuk membangunkan MyMagnetic Group, sebuah syarikat yang menghasilkan beribu-ribu pelekat magnet sebulan sejak empat tahun lalu.
"Saya mendapat idea menjalankan perniagaan ini semasa berkunjung ke rumah kakak yang sememangnya suka melancong.







"Saya tertarik melihat setiap inci peti sejuknya dipenuhi dengan pelekat magnet yang dibeli di luar negara," cerita Nori yang kini mengendalikan perniagaan itu bersama dua rakan kongsi, Darlina Aswani Mohd. Nor, 41 dan Muhamad Zulkiflee Osman, 39.

Menurut Nori, berdasarkan pemerhatiannya juga ramai suri rumah cenderung menampal kertas nota resipi masakan pada pintu peti sejuk menggunakan pelekat magnet tersebut.

"Saat itu terlintas di hati saya alangkah baiknya kalau resipi itu dibuat dalam bentuk pelekat magnet.
"Kertas resipi itu boleh hilang bahkan menjadikan permukaan peti sejuk berserabut. Ia berbeza dengan pelekat magnet yang lebih kemas," ujar Nori yang juga seorang pengumpul aksesori itu.

Daripada tinjauan rawak dan maklum balas rakan dan keluarga, terciptalah pelekat magnet My Magnetic Menu (MMM) yang memaparkan resipi tempatan yang mudah disediakan dan digemari ramai.

Resipi

Sebagai permulaan, MyMagnetic mengeluarkan tiga resipi masakan iaitu ayam halia, acar dan daging madu lada hitam.
"Walaupun sudah mempunyai idea, kami berdepan masalah untuk menghasilkan produk itu kerana ketika itu kami tidak tahu di mana mahu mencetaknya.
"Oleh kerana produk ini sudah mendapat tempat di luar negara, kami memutuskan untuk mencetaknya di Australia dengan bantuan Darlina yang menetap di sana.

"Produk pertama melibatkan cetakan sebanyak 1,000 keping pelekat magnet bagi setiap resipi. Kos mencetak di Australia tidaklah mahal tetapi bayaran penghantaran ke Malaysia agak tinggi. 

"Untung rugi sudah menjadi adat perniagaan. Walaupun hanya mendapat sedikit keuntungan pada tahun 2009, kami tetap meneruskan usaha itu," beritahu Nori sambil menambah, hampir kesemua urusan jual beli itu sehingga kini dibuat secara dalam talian.
Nori turut menjual pelekat magnet yang dibelinya ketika melancong di luar negara sebagai salah satu strategi pemasaran. 

"Sedikit demi sedikit kami dikenali khususnya dalam kalangan pengumpul pelekat magnet," tambah pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Buku magnet
Pada Januari 2010, Nori berjaya mendapatkan pencetak pelekat magnet di Malaysia. Kali ini tiga koleksi resipi terdahulu dicetak berserta gambar masakan tersebut. 

"Apabila kami menemui kilang yang boleh membuat cetakan itu di Malaysia, usaha diteruskan dengan mengembangkan lagi reka bentuk pelekat magnet yang bukan sahaja cantik dijadikan aksesori atau hiasan malah didatangkan dengan kepelbagaian fungsi. 

"Antara produk bermagnet itu ialah kalendar, penanda buku, pelekat poster kereta, kad hari raya, pembaris, kad perniagaan, kad jemputan perkahwinan dan cenderamata untuk pelbagai acara.
"Gambar semua produk itu boleh dilihat dalam laman web www.mymagneticmenu.com," tuturnya yang gemar bereksperimen dengan sesuatu bentuk pelekat magnet yang ingin dihasilkan.

Nori berkata, pada awal pembabitannya dalam bidang itu, pelanggannya terdiri daripada individu dan pengumpul barangan itu sahaja tetapi kini merangkumi syarikat korporat, persatuan dan orang perseorangan yang ingin menjadikan pelekat magnet sebagai cenderahati kepada tetamu khususnya pada majlis seperti perkahwinan.
"Selalunya idea rekaan pelekat magnet ini datang daripada pelanggan. Kemudian kami mereka dan menunjukkan contoh rekaan itu dahulu kepada pelanggan sebelum mencetaknya. 

"Pernah juga kami berdepan dengan pelanggan yang mahu menukar rekaan berulang kali kerana tidak berpuas hati tetapi kesemua permintaan mereka kami turutkan sahaja sehingga mereka bersetuju," jelasnya yang turut mendapat tempahan dari Singapura dan Indonesia.
Syarikat itu kini bekerjasama dengan Perunding dan Pakar Chef Malaysia, Adu Amran bagi menghasilkan koleksi resipi dalam bentuk buku bermagnet.

"Idea kerjasama ini diperoleh melalui penghasilan kad hari raya kami yang menggunakan konsep yang sama.
"Bercakap mengenai harga pula, ia ditentukan berdasarkan kuantiti, reka bentuk dan jenis material," ujarnya yang menggunakan moto perniagaan Magnetizing Your Ideas; Big or Small (Magnetkan Idea Anda; Besar atau Kecil).

Nori memberitahu, syarikatnya dalam proses untuk mendaftarkan Persatuan Peminat Fridge Magnet Malaysia bagi mengukuhkan lagi jaringan dengan peminat dan pengumpul pelekat magnet selain dapat berkongsi idea dan bertukar-tukar fikiran sesama mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm
Ranking: 5

1 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Sertai Rakan-rakan yang lain disini

Google+ Followers

 
© Informasi Cikgu Noor Mala Shahar All Rights Reserved