Naluri ingin terbang pencetus teknologi aeroangkasa

on Tuesday, December 11, 2012



MEMBICARAKAN mengenai sejarah perkembangan teknologi penerbangan atau aeroangkasa ini, sudah tentu nama yang terpahat di kepala kita ialah nama pencipta kapal terbang yang pertama berjaya menerbangkan pesawat mereka iaitu Wright Brothers pada 1903.




                            Sir George Carley dengan draf rekaan pesawatnya.

Bagaimanapun, sebenarnya sejarah penerbangan atau aviasi ini telah bermula sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi berikutan keinginan manusia itu sendiri untuk terbang seperti burung di udara.

Ketika itu kebanyakan ciptaan alat untuk membantu manusia terbang sekadar membuat sayap-sayap yang menggunakan kuasa tangan untuk menggerakkannya. Sudah tentu, sayap sebegini tidak akan mampu membawa manusia terbang tinggi disebabkan keterbatasan tenaga manusia.

Kemudian mesin-mesin yang membantu menggerakkan sayap pula dicipta tetapi masih gagal untuk menerbangkan manusia di udara. Mulai 1783, timbul pula ciptaan belon udara yang mampu membawa manusia terbang tetapi ia juga kurang berjaya kerana terlalu bergantung kepada tiupan angin untuk menuju ke satu-satu arah.

Gambaran dewa terbang dalam mitos Greek.

Selepas pelbagai usaha dan ciptaan-ciptaan yang dikatakan gila ketika itu, maka ciptaan seakan kapal terbang bermula dengan idea Sir George Carley pada 1799 walaupun ia tidak mampu mencatat sejarah penerbangan yang berjaya.

Beliau dianggap sebagai bapa aviasi dengan membina konsep kapal terbang moden yang kemudiannya disempurnakan oleh Wrights Brothers. Pada 1891, jurutera berbangsa Jerman, Otto Lilienthal telah memulakan ujian penerbangan dengan menggunakan peluncur (glider) bantuan tangan.

Usahanya untuk terbang itu boleh dianggap berjaya dalam menjadikan aeronautik sebagai satu bidang sains tulen. Beliau boleh dianggap sebagai manusia pertama berada di udara, terbang dengan peluncurnya dan memberi 'rasa' seperti kapal terbang, sebelum enjin diletakkan kepada kenderaan tersebut.

Antara nama-nama lain dalam bidang aeroangkasa di zaman itu ialah Kapten F. Ferber, Percy Pilcher, Octave Chanute dan Henri Robart.

Bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, kejayaan pertama dalam ciptaan kapal terbang (dibantu mesin) disempurnakan oleh Orville and Wilbur Wright pada 1903 yang membawa revolusi dalam industri penerbangan dunia.

Mereka telah menyertai era aviasi sejak 1900 dan telah menjalankan ujian dengan 'glider' sehingga mampu menghasilkan pesawat ringan dengan kuasa enjin.



Kapal terbang Wrights Brothers.

Pada 1903, Wright dua beradik itu telah membina pesawat dengan enjin yang kemudiannya berjaya diterbangkan pada 17 Disember 1903. Sejak itu, pelbagai usaha dijalankan untuk memajukan industri ini terutama pada zaman Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Pesawat demi pesawat terus dicipta dan dipermajukan dengan semakin canggih, senyap, berkuasa dan laju dengan ciptaan pesawat perang, pesawat penumpang dan juga roket atau kapal angkasa.

Penerbangan ke angkasaSejarah penggunaan roket sebenarnya telah bermula sejak tahun 1045 lagi yang mana ia telah dicipta untuk kegunaan peperangan. Terdapat pelbagai saiz roket-roket ini dari sekecil anak panah sehingga peluru berpandu yang besar.
Roket yang membawa bahan letupan ini terus digunakan bagi tujuan ketenteraan sehingga pada pada Perang Dunia Pertama. Roket yang dipasang pada kapal terbang telah digunakan untuk menembak jatuh belon udara panas yang terletak tinggi di ruang udara.
Bermula dari situlah, manusia melihat mengenai potensi penggunaan roket untuk digunakan bagi ruang udara yang tinggi dan juga meneroka angkasa lepas.

Pesawat Fokker D digunakan dalam Perang Dunia Pertama.

Pada 16 Mac 1926, sebuah roket telah dilancarkan ke udara setinggi 42.33 meter dari sebuah ladang di Massachusetts, Amerika Syarikat.Walaupun 42.33 meter bukan satu ketinggian yang benar-benar jauh di udara tetapi ia mencatatkan sejarah roket yang menggunakan bahan minyak cecair.

Amerika Syarikat juga telah melancarkan satelit pertamanya, Explorer I pada 31 Januari, 1958 yang dibawa oleh roket Jupiter C. Pada tahun yang sama, NASA (National Aeronautics and Space Administration) telah ditubuhkan dan berkembang dengan pantasnya.
Pada 1961, Alan Shephard menjadi manusia pertama yang berada di angkasa lepas. Beliau merupakan salah seorang daripada tujuh angkasawan pertama memasuki ruang angkasa lepas. Enam angkasawan lain ialah Scott Carpenter, Gordon Cooper Jr., Gus Grissom, Deke Slayton, John Glenn dan Walter Schirra.

Program besar pertama NASA ialah Projek Mercury yang merupakan projek untuk menempatkan manusia di ruang angkasa lepas. Projek itu diikuti dengan Projek Gemini yang dibina dari landasan Projek Mercury dengan pembinaan kapal angkasa untuk dua angkasawan.

Pada 16 Julai 1969 pula, Apollo 11 telah dilancarkan dengan misi untuk mendarat di bulan dengan Neil Armstrong menjadi manusia pertama berjalan di permukaan bulan. Beliau dan rakan-rakan lain yang menyertai misi itu telah selamat kembali ke bumi selepas itu.
Percubaan-percubaan untuk meletakkan manusia secara kekal di ruang angkasa telah bermula sejak 14 Mei, 1973. Pada hari tersebut, roket bulan Saturn V telah membawa stesen angkasa Skylab ke orbit dan melepaskannya di ruang angkasa.



Jet pejuang era baru.

Skylab merupakan fokus utama NASA selepas itu dalam usaha perlumbaan manusia menempatkan angkasawan-angkasawan di angkasa dalam tempoh yang lama di dalam stesen-stesen angkasa lepas, termasuk usaha daripada saintis-saintis dari Rusia.


NASA juga mempunyai pelbagai projek saintifik meneroka angkasa lepas dan planet seperti dengan penghantaran kapal angkasa Pioneer dan Voyager, termasuk usaha menyiasat planet Marikh melalui penggunaan kapal angkasa Viking dan Mars Pathfinder.

NASA juga telah menempatkan pelbagai satelit komunikasi seperti Echo, Telstar, dan Syncom. Negara kita tidak terkecuali dari mempunyai satelit sendiri dengan pelancaran MEASAT dan TiungSat yang telah membawa negara ke era aero-angkasa terkini.

Malaysia juga telah mencipta pesawat Eagle yang menjadi perintis kepada penciptaan pesawat udara lebih canggih di masa depan di negara ini, selepas kejayaan kita membangunkan industri pemotoran.


 http://www.tutor.com.my/tutor/estidotmy/index.asp?y=2003&dt=0128&pub=ESTIDOTMY&sec=Semasa&pg=se_02.htm
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Sertai Rakan-rakan yang lain disini

Google+ Followers

 
© Informasi Cikgu Noor Mala Shahar All Rights Reserved