Asam pedas udang galah

on Tuesday, May 31, 2016

Asam pedas udang galah
KEENAKAN asam pedas udang galah perlu dirasai sendiri.


Menghirup kuah asam pedas pekat satu kepuasan yang tidak tergambar dengan kata-kata terutama bagi peminat hidangan ini.

Dimakan pula dengan nasi panas dan sedikit sayur serta ulam, ia sudah cukup mengenyangkan perut dan tentunya hati gembira.

Kalau asam pedas ikan pari, ikan kembung atau daging tetel sudah biasa dinikmati, bagaimana pula dengan asam pedas udang galah?

Pastinya ia asam pedas unik dan perlu dicuba sendiri.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Kedai Asam Pedas, Nasi Lemak dan Char Kuetiau di Medan Selera Dataran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, lokasi yang harus dikunjungi.

Diusahakan Yusri Ishak, 47, asam pedas antara hidangan utama di kedainya dan paling digemari pelanggan.

Katanya, menggunakan resipi peninggalan arwah nenek, dia mengambil sedikit masa untuk mengetengahkan hidangan asam pedas terutama udang galah di kedainya.

“Mengamalkan prinsip ‘masak sebagaimana yang kita mahu makan’, kami mengambil sedikit masa untuk memperkenalkan asam pedas kepada pelanggan.

“Sebagai permulaan, kami mengajak kawan-kawan datang ke rumah untuk merasai hidangan asam pedas yang dimasak isteri sebelum menjualnya di kedai,” katanya.

Memilih udang galah sebagai antara menu asam pedasnya, kata Yusri, buat masa ini belum ada orang menjual juadah itu.

Mendapatkan bekalan udang galah dari sekitar Kuala Selangor, dia memberanikan diri memperkenalkan menu itu di kedainya.

“Kami sendiri tak sangka asam pedas udang galah dapat sambutan memberangsangkan.

“Setiap hari, sebanyak 40 hingga 50 udang galah digunakan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Jumlahnya meningkat hingga 100 ekor pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya.

Mengenai harganya, ia dikira mengikut saiz udang galah. Lengkap dengan nasi dan sayur, hidangan asam pedas udang galah dijual pada harga RM35, RM40 dan RM50.

Yusri turut menyajikan char kuetiau, nasi lemak dan ayam masak lemak cili padi mangga muda kepada pelanggannya.

“Untuk masak lemak, ia ada sedikit kelainan kerana kami tidak menggunakan asam keping. Ia digantikan dengan mangga muda yang memberi rasa masam yang unik,” katanya.

metro

Bebas kimia, halal

Bebas kimia, halal
SEBAHAGIAN daripada 5,000 ayam kampung ternakannya.

Niatnya menternak ayam kampung adalah untuk menyediakan ternakan yang dijamin halal dan pada masa sama tidak menjejaskan kesihatan umat Islam.

Bagi mencapai hasrat itu, Wan Azwande Ahmad, 38, hanya memberi makanan organik yang dipastikan tidak bercampur bahan kimia kepada ayam ternakannya. Dia turut menghasilkan bokashi iaitu makanan ayam yang diadun sendiri mengandungi herba berkhasiat serta bermutu tinggi selain jagung kepada ternakannya.

Hasilnya, dia berjaya menghasilkan ayam kampung yang diberi nama Royal Herba yang dagingnya dijamin bebas daripada campuran bahan kimia berbahaya.

Berkat usahanya, kini Wan Azwande berjaya menternak lebih 5,000 ayam kampung organik yang sentiasa mendapat permintaan daripada penduduk sekitar Tasek Gelugor, Seberang Perai.

“Saya mengunakan bahan makanan seperti jagung dan bokashi bagi meningkatkan pembesaran ayam selain minuman enzim untuk anak ayam yang diternak di kawasan seluas satu hektar ini.

“Pemakanan berkhasiat yang memanfaatkan penggunaan pelbagai bahan organik dan herba dapat meningkatkan daya tahan ayam daripada serangan penyakit,” katanya ketika ditemui di Kawasan Pertanian PERDA, Ara Kuda, Tasek Gelugor, baru-baru ini.

Wan Azwande berkata, makanan ayam itu hasil penyelidikan dijalankannya sejak setahun, selain tumpuan khususnya sebagai ejen pemangkin pertumbuhan yang banyak digunakan dalam industri penternakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ayam.

Dia berkata, hasrat utamanya menceburi ternakan ayam kampung kerana mahu menyahut seruan agama dan kerajaan yang mahu lebih ramai orang Islam terbabit dalam industri makanan halal.

“Saya terpanggil menternak ayam kampung organik selepas membaca pelbagai laporan kebelakangan ini mengenai daging yang disuntik dengan bahan tidak halal, ditambah dengan cara sembelihan meragukan.

“Hasil penelitian saya mendapati kebanyakan makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit seperti barah dan sakit jantung.

“Jadi saya menceburi penternakan ayam herba ini pada awal Mac lalu dan sambutan daripada pengguna sangat memberangsangkan kerana ayam herba bukan sahaja digunakan dalam makanan harian, malah majlis keramaian dan kenduri,” katanya.

Wan Azwande berkata, kesedaran orang ramai terhadap makanan berkhasiat dan menggunakan bahan organik semakin meningkat di negara ini. Sejak mula memasuki pasaran sebulan lalu, dia sudah menjual lebih 2,000 ayam kampung organiknya.

Katanya, harga ayam Royal Herba hampir sama seperti ayam biasa di pasaran iaitu RM8.50 sekilogram dan RM14 bagi yang sudah siap diproses.

Bermodalkan RM10,000 hasil simpanan peribadi, Wan Azwande kini berpuas hati apabila mampu meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan hasil jualan 1,000 ayam ternakannya.

Lebih penting, katanya, ternakan ayam Royal Herba menjadi harapannya bagi menyediakan kemudahan makanan halal untuk umat Islam di negara ini, seterusnya ke luar negara.

metro

Mengapa tiada Qunut di Mekah

Mengapa tiada Qunut di Mekah


1. Mengapa solat Subuh di Masjid Nabawi dan Masjidilharam tiada doa qunut dan selepas solat tiada doa?

- Raza, Perak.

UKE: Membaca qunut ketika sembahyang Subuh disyariatkan menurut mazhab Syafie dan ia termasuk dalam perkara sunat ab‘adh. Jika qunut itu ditinggalkan, sama ada terlupa atau sengaja, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.

Persoalan tentang qunut ini menjadi perkara khilafiah. Pelbagai pendapat berkenaan bacaan qunut di di dalam solat subuh tetapi kita yang berpegang dengan mazhab Syafie berpegang dengan sunat dibaca qunut.

Imam Syafie tidak mewajibkan qunut maka sebenarnya tiadalah masalah besar jika kita berimamkan imam yang tidak membaca qunut malah sah solat kedua-duanya. Yang membaca ada dalilnya, begitu juga bagi yang tidak mmbacanya.

Kita sebagai orang awam memadailah beramal dengan mazhab masing-masing kerana setiap mazhab empat itu sandarannya adalah Nabi Muhammad SAW. Bab berdoa itu mudah sahaja. Kalau tok imam itu tak berdoa maka kita sendirilah berdoa. Kalau tok imam berdoa kita aminkanlah, mudah-mudahan mustajab.






utusan

Wuduk baik untuk kesihatan

Wuduk baik untuk kesihatan
SOLAT tidak sah sekiranya tiada wuduk. Sesungguhnya wuduk banyak kelebihannya dari sudut agama dan kesihatan. Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG, Mungkin kita tidak menyedari tentang kelebihan berwuduk dari sudut kesihatan. Antara kelebihan berwuduk, diri kita sentiasa bersih. Selain itu wuduk dapat menghindarkan kita daripada bahaya keracunan antaranya perbuatan memasukkan air ke dalam hidung.

Keracunan itu terjadi kerana adanya pertumbuhan bakteria berbahaya dalam lubang hidung. Dari lubang hidung ini, bakteria boleh masuk ke dalam usus sehingga menimbulkan radang dan berbagai-bagai penyakit terutama apabila bakteria itu telah masuk melalui peredaran darah.

Adapun berkumur-kumur dalam wuduk telah terbukti dapat menjaga mulut dan tekak daripada sisa-sisa makanan yang barangkali masih tersisa di dalam mulut. Membasuh wajah, dua tangan hingga ke siku dan dua tela­pak kaki memiliki manfaat dalam menghilangkan debu dan bakteria.

Di samping itu wuduk juga mampu membersihkan wajah daripada kandungan lemak yang keluar dari kelenjar kulit dan keringat. Inilah antara kelebihan berwuduk.

Tetapi apa yang lebih pen­ting Rasulullah SAW dalam satu hadis telah menerangkan mengenai kelebihan berwuduk yang antara lain anggota berwuduk itu akan mengeluarkan cahaya ketika akhirat kelak.

Rasulullah bersabda: “Se-sungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan, dahi, dua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana wuduk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



NURHAYATI NOOR RAHMAT

Jitra, Kedah.




utusan

Pupuk masyarakat guna bekas makanan sendiri

on Monday, May 30, 2016


Pupuk masyarakat guna bekas makanan sendiri
Kempen KL Bloggers Hunt ini membabitkan 16 orang penulis blog makanan.


BERSEMPENA bulan Ramadan yang bakal menjelma bulan hadapan, Alam Flora dengan kerjasama beberapa rakan penaja buat julung-julung kalinya menganjurkan kempen KL Bloggers Hunt.

Ia merupakan satu kempen proaktif berlandaskan Love Food Hate Waste yang melibatkan 16 orang penulis blog makanan.

Matlamat utama kempen itu adalah untuk meningkatkan keprihatinan dan mewujudkan kesedaran orang awam terhadap pembahagian serta perancangan makanan bagi isi rumah, cara penyimpanan makanan untuk melanjutkan jangka hayat makanan dan cara pengasingan sampah.

Kempen itu telah disertai oleh penduduk dan suri rumah daripada lapan buah rumah yang terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Cheras.

Selain penduduk dan suri rumah, kesemua 16 orang penulis blog makanan itu dibawa ke beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Tugasan itu melibatkan penyediaan rojak buah selain menggunakan baki kulit buah tersebut bagi tujuan menghasilkan baja kompos yang diproses di Buy Back Centre Alam Flora, Presint 18, Putrajaya.

Selain daripada itu, setiap peserta dibekalkan sebuah bekas kotak makan tengah hari yang boleh digunakan semula sebagai salah satu langkah mengurangkan penggunaan styrofoam atau polisterina.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Mohd. Zain Hassan, sebanyak 15,000 daripada 33,000 tan pembaziran adalah daripada sampah makanan.

Katanya, sebanyak 60 peratus daripada sampah makanan itu boleh dielakkan sekiranya orang awam tahu cara penyimpanan dan pembelian jumlah yang betul untuk kegunaan isi rumah.

“Media sosial dikenal pasti sebagai salah satu medium efektif untuk penyebaran maklumat positif kepada orang awam.

“Alam Flora mengambil kesempatan ini untuk menggunakan sosial media sebagai landasan terbaik dalam menjayakan kempen ini, sekali gus mengurangkan pembaziran makanan dibuang ke loji pembuangan kami.

Sikap

“Kejayaan mengurangkan pembaziran makanan memerlukan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat. Kami berharap dapat memperbaiki kualiti alam sekitar dengan penganjuran aktiviti seumpama ini dari masa ke semasa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Seorang peserta, Norzaila Ismail berkata, program yang dianjurkan itu secara tidak langsung dapat memupuk sikap orang ramai agar menggunakan barangan kitar semula.

“Seperti yang kita tahu, pada masa kini banyak pembaziran dan pembuangan berlaku. Menerusi kempen seperti ini, ia memberi kesedaran kepada pengguna agar prihatin dengan isu tersebut,” katanya yang teruja apabila dapat menyertai kempen itu.

Berlainan pula dengan seorang lagi peserta dan penulis blog bebas, Mohd. Amiruddin Mohd. Nawawi mengakui kempen yang dianjurkan Alam Flora itu sangat baik dalam memupuk sikap masyarakat agar bersama-sama mengurangkan pencemaran alam.

“Penggunaan bekas polisterin yang tidak terkawal antara penyumbang pencemaran. Ia juga boleh dilihat terapung di dalam sungai atau longkang.

“Tindak balas bahan kimia di dalam polisterin boleh menjejaskan kesihatan pengguna tanpa disedari,” katanya.

Kesemua 16 penulis blog makanan itu turut bersaing bagi merebut hadiah bernilai RM4,000 dalam bentuk tunai dan baucar.

KL Bloggers Hunt 2016 diadakan bermula di Wisma DRB-Hicom di Glenmarie, Shah Alam dan seterusnya bergerak ke Pasar Besar Cheras, PPR Taman Mulia, Bangsar dan Putrajaya bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang.



kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Sertai Rakan-rakan yang lain disini

Google+ Followers

 
© Informasi Cikgu Noor Mala Shahar All Rights Reserved